TERMA DAN SYARAT TAMBAHAN SERAGAM BAGI PAKEJ PELANCONGAN KE LUAR NEGARA [Pakej Umrah & Pelancongan]

TERMA DAN SYARAT TAMBAHAN SERAGAM BAGI PAKEJ PELANCONGAN KE LUAR NEGARA

[Pakej Umrah Dan Pelancongan]

 

Pelanggan adalah dinasihatkan supaya membaca dengan teliti terma-terma dan syarat-syarat tambahan ini sebelum bersetuju untuk melanggani pakej umrah atau percutian Mursyid Alharamain Travel & Tours Sdn. Bhd.(“MATTSB”)

 

Terma-terma dan syarat-syarat ini adalah tambahan kepada peruntukan terma dan syarat di dalam Jadual Keempat Akta Industri Pelancongan 1992. Ianya tidak mengurangkan kuatkuasa peruntukan Jadual Keempat Akta Industri Pelancongan 1992 dan di mana terdapat sebarang percanggahan, terma dan syarat di dalam Jadual Keempat Akta Industri Pelancongan 1992 (“AIP 1992”) adalah terpakai.

 

1) KETEPATAN BUTIRAN DAN MAKLUMAT SEMASA PENEMPAHAN PAKEJ

1.1) Maklumat Peribadi

i)     Segala butiran dan maklumat yang diberi oleh Pelanggan kepada MATTSB semasa membuat tempahan pakej akan digunapakai oleh MATTSB bagi penyempurnaan kontrak pakej tersebut.

ii)  Tanggungjawab Pelanggan untuk menyemak dan memastikan semua butiran dan maklumat peribadi sendiri adalah tepat sebelum membuat pembayaran deposit. 

iii)    Sekiranya tiada pembetulan dibuat, semua butiran dan maklumat adalah dianggap benar dan muktamad. MATTSB tidak akan dipertanggungjawabkan terhadap sebarang kejadian atau masalah yang timbul akibat dari kesilapan tersebut.

 

1.2) Deposit Dan Dokumen

i)     Borang Pendaftaran yang lengkap hendaklah diisi di laman web MATTSB serta dicetak beserta resit pembayaran deposit setiap orang dan hendaklah dihantar ke MATTSB atau melalui e-mail: salesteam@mursyidalharamain.com selewat-lewatnya 4 bulan sebelum tarikh berlepas bagi mengesahkan tempahan.

ii)    Dokumen yang diperlukan bagi permohonan visa dan pembayaran penuh perlu diselesaikan selewat-lewatnya 2 bulan sebelum tarikh berlepas. Kegagalan untuk berbuat demikian boleh menyebabkan pembatalan pendaftaran dan pembayaran yang telah dibuat tidak akan dipulangkan ATAU kenaikan pada harga pakej individu.

 

1.3) Maklumat Kesihatan

i)     Pelanggan diwajibkan mengisytiharkan sepenuhnya tahap kesihatan Pelanggan di dalam BORANG yang diberikan sebelum membuat pembayaan deposit.

ii)    MATTSB berhak untuk menolak tempahan Pelanggan jika tahap kesihatan Pelanggan didapati membahayakan kesihatan dan keselamatan   diri sendiri atau mengurangkan keselesaan atau keseronokan anggota lain di dalam kumpulan pelancongan Pelanggan.

iii)  Sekiranya bantuan diperlukan disebabkan oleh tahap kesihatan Pelanggan, Pelanggan diwajibkan membawa ahli keluarga lain untuk membantu dan menjaga Pelanggan secara peribadi sepanjang tempoh perjalanan pakej tersebut termasuk ketika Pelanggan sakit. Pelanggan wajib membawa sendiri segala peralatan bantuan seperti kerusi roda dan ubat-ubatan yang diperlukan.

iv)   Sekiranya faktor kesihatan Pelanggan masih memerlukan bantuan jagaan peribadi tambahan, MATTSB berhak mengenakan bayaran tambahan terhadap Pelanggan bagi mengupah pihak ketiga.

 

2) SEMAKAN DAN PENGESAHAN MAKLUMAT DAN BUTIRAN  BERKAITAN PAKEJ YANG DIBELI

2.1) Pelanggan dikehendaki menyemak maklumat mengenai pakej yang ditempah sebelum membuat pembayaran deposit iaitu pakej yang dipilih, harga pakej, tarikh penerbangan pergi dan balik, waktu berlepas dan ketibaan, hotel penginapan dan jenis bilik yang dipilih serta lain-lain maklumat seperti tertera pada resit pembayaran dan / atau surat pengesahan.

2.2) Sebarang kesilapan atau peninggalan di dalam butiran pakej hendaklah dilaporkan dalam tempoh 24 jam dari tarikh resit atau surat pengesahan dikeluarkan (yang mana lebih awal).  Kegagalan berbuat demikian dianggap Pelanggan telah bersetuju dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap risiko atau kos tambahan berkaitan pakej yang Pelanggan.

 

3) KAEDAH PEMBAYARAN PAKEJ

3.1) MATTSB hanya menerima pembayaran secara draf bank, ‘online transfer’ dan cek persendirian.

3.2) MATTSB berhak menahan/menggantung tempahan pakej Pelanggan sehingga penunaian bayaran deposit melalui draf bank, ‘online transfer’ atau cek persendirian Pelanggan.

3.3) MATTSB tidak bertanggungjawab sekiranya pakej yang Pelanggan tempah telah habis dijual akibat kelewatan penunaian draf bank, transfer online atau cek persendirian Pelanggan.

3.4) Bagi pembayaran pakej yang kurang dari 44 hari bekerja sebelum tarikh penerbangan. MATTSB hanya menerima pembayaran secara bank draf atau ‘online transfer’ dan MATTSB berhak menolak apa-apa pembayaran melalui cek persendirian.

3.5) Kegagalan membuat pembayaran pakej seperti disyaratkan, boleh mengakibatkan pakej Pelanggan terbatal secara automatik dan mana-mana bayaran pakej yang telah dibayar akan dilucutkan mengikut Jadual Keempat AIP 1992.

3.6. Segala pembayaran hendaklah dibuat terus kepada akaun MATTSB seperti tertera di dalam Borang Pendaftaran pakej. Lampiran slip pembayaran hendaklah diserahkan kepada MATTSB. Pihak MATTSB tidak akan bertanggungjawab bagi mana-mana transaksi yang tidak dibuat terus kepada akaun MATTSB.

3.7. MATTSB berhak menuntut pembayaran tambahan bagi tambang pelancongan melebihi jumlah 25% yang dinyatakan dalam Perkara 1 Jadual Keempat AIP1992 berdasarkan polisi syarikat penerbangan berkaitan dengan pakej yang ditempah oleh pelanggan.

 

4) TIKET PENERBANGAN

4.1) Pakej Pelanggan adalah termasuk tiket penerbangan dari KLIA / KLIA2 ke destinasi yang dituju sahaja TIDAK TERMASUK tiket   penerbangan domestik ke KLIA / KLIA2.

4.2) Pengeluaran Surat Pengesahan Jadual Penerbangan adalah MASIH TERTAKLUK kepada pindaan jadual penerbangan oleh syarikat penerbangan.

4.3) MATTSB tidak boleh dipertanggungjawabkan untuk menanggung sebarang gantirugi TERMASUK DAN TIDAK TERHAD kepada menggantirugi bayaran perubahan tiket domestik, hotel tambahan atau lain-lain kesusahan akibat dari pindaan tersebut.

4.4) MATTSB juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang tuntutan gantirugi, yang timbul akibat dari pertukaran jadual, kelewatan, pembatalan, ‘missed connection flight’, masalah mekanikal, cuaca buruk, penyusunan semua tempat duduk di dalam penerbangan, kehilangan / kelewatan bagasi, kelewatan pemeriksaan imigresen dan / atau halangan menaiki penerbangan oleh syarikat penerbangan.

                                

5) PENGINAPAN HOTEL

5.1) Klasifikasi Penginapan

i)     Taraf bintang hotel yang dinyatakan di dalam mana-mana iklan, brosur atau surat- menyurat MATTSB adalah penarafan yang diberikan oleh pihak hotel tersebut kepada MATTSB sebagai rujukan sahaja dan mungkin berbeza dari satu negara ke negara yang lain.

ii)    MATTSB tidak boleh memberi sebarang jaminan tentang kesesuaian hotel tersebut mengikut penarafan hotel seperti yang diiklankan oleh pihak hotel tersebut. Pengambilan pakej adalah muktamad dan tidak boleh dibatalkan atas alasan kekhilafan penarafan hotel.

 

5.2) Perubahan Hotel

i)     MATTSB berhak untuk mengubah hotel penginapan dari hotel yang dinyatakan di dalam brosur atau surat pengesahan pakej atas sebab tiada kekosongan atau masalah kerosakan bilik.

ii)    Sekiranya berlaku, MATTSB tidak memberi jaminan tetapi akan berusaha sebaik mungkin secara munasabah untuk mendapatkan hotel penginapan ganti yang setaraf atau lebih baik. MATTSB tidak boleh dipertanggungjawab atau menanggung liabiliti bagi sebarang masalah yang timbul akibat dari penggantian hotel penginapan tersebut.

 

5.3) Polisi Hotel

i)     Polisi mengenai waktu kemasukan (Check-in) dan keluar (Check-out) hotel penginapan adalah berbeza mengikut polisi hotel berkenaan.

ii)    MATTSB tidak boleh dipertanggungjawab atau menanggung liabiliti atas kesusahan yang Pelanggan alami akibat dari kuatkuasa polisi check-in dan check-out hotel berkenaan.

 

5.4) Jenis Dan Klasifikasi Bilik Hotel

i)     Jenis dan klasifikasi bilik termasuk ameniti (kemudahan) yang disediakan di dalam bilik hotel adalah berbeza mengikut hotel dan negara destinasi.

ii)    MATTSB tidak menjamin bahawa bilik penginapan Pelanggan akan sama seperti yang digambarkan di dalam iklan atau brosur MATTSB. MATTSB tidak boleh dipertanggungjawabkan atau menanggung liabiliti kesusahan yang Pelanggan alami akibat dari perbezaan jenis bilik, klasifikasi bilik dan/atau kekurangan ameniti yang ada di dalam bilik penginapan tersebut.

 

6) ATURCARA PAKEJ

6.1) Tiada Jaminan Kesesuaian Aturcara

i)   Walaupun MATTSB berusaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik, MATTSB tidak memberi jaminan bahawa semua aturcara yang disediakan adalah tidak berisiko dan sesuai untuk semua peringkat umur dan individu yang mempunyai rekod kesihatan yang kurang baik.

ii)    MATTSB tidak boleh dipertanggungjawabkan dan menanggung liabiliti sekiranya berlaku sebarang masalah, kesakitan, kecelakaan atau kematian akibat dari mana-mana bahagian aturcara pakej yang Pelanggan ikuti sama ada aturcara tersebut dinyatakan dalam surat pengesahan, iklan atau brosur MATTSB atau aturcara pilihan Pelanggan sendiri. Pelanggan adalah dinasihatkan untuk sentiasa menjaga kesihatan diri dan mengamalkan sikap berhati-hati sepanjang mengikuti pakej MATTSB.

 

6.2) Kemungkinan Perubahan Aturcara

Selaras dengan Peraturan 9 Jadual Keempat AIP 1992, sekiranya berlaku perubahan aturcara dan MATTSB terpaksa mengadakan aturcara alternatif sebagai ganti, MATTSB tidak bertanggungjawab untuk memastikan bahawa aturcara alternatif tersebut menyamai kos atau mempunyai nilai yang serupa dengan aturcara asal yang diganti.

 

7) PEMBATALAN DAN CAJ PEMBATALAN

Permohonan pembatalan hendaklah secara bertulis melalui BORANG KHAS yang disediakan oleh MATTSB dan :-

7.1) adalah TERTAKLUK kepada Perkara 3.2.1 dan 3.2.2 [bagi Pakej Berkumpulan] dan Perkara 3.1.1 dan 3.1.2 [bagi FIT] Jadual Keempat AIP 1992 seperti berikut:-

Ø  Perkara 3.2.1 - Pembatalan 45 hari atau lebih sebelum tarikh berlepas, fi pentadbiran minimum sebanyak RM30.00 atau 2% daripada tambang pelancongan (mengikut mana yang lebih tinggi) setiap orang akan dikenakan.

Ø  Perkara 3.2.2 -  Pembatalan Diterima dalam tempoh:-

22 – 44 hari bekerja sebelum tarikh berlepas                            : Perlucutan deposit pelancongan

15 -21 hari bekerja sebelum tarikh berlepas                             : 35% daripada tambang pelancongan

08 – 14 hari bekerja sebelum tarikh berlepas                            : 50% daripada tambang pelancongan

03 – 07 hari bekerja sebelum tarikh berlepas                            : 75% daripada tambang pelancongan

02 hari bekerja atau kurang sebelum tarikh berlepas               : 100% daripada tambang pelancongan

Ø  Perkara 3.1.1 - Pembatalan 30 hari atau lebih sebelum tarikh berlepas, fi pentadbiran minimum sebanyak RM50.00 atau 10% daripada deposit pelancongan (mengikut mana yang lebih rendah) setiap orang akan dikenakan.

Ø  Perkara 3.1.2 -  Pembatalan Diterima dalam tempoh:-

15 – 29 hari bekerja sebelum tarikh berlepas                            : 50% daripada deposit pelancongan

08 – 14 hari bekerja sebelum tarikh berlepas                            : 20% daripada tambang pelancongan

03 – 07 hari bekerja sebelum tarikh berlepas                            : 40% daripada tambang pelancongan

02 hari bekerja atau kurang sebelum tarikh berlepas               : 100% daripada tambang pelancongan

7.2) Pengembalian wang setelah ditolak Caj Pembatalan adalah juga tertakluk kepada :-

         i)       Pelucutan bayaran visa penuh, sekiranya urusan visa telah dibuat sewaktu pembatalan.

         ii)      Pelucutan bayaran penuh tambang pelancongan sekiranya tiket penerbangan telah dicetak sewaktu pembatalan.

         iii)      Pelucutan bayaran RM200.00 sekiranya beg atau buku panduan tidak dipulangkan dalam keadaan asal.

 

7.3) Caj sebanyak RM800 akan ditolak dari deposit RM1,000.00 bagi setiap pembatalan terhadap tempahan Pakej Berkumpulan. Tidak ada pemulangan deposit RM200.00 bagi FIT.

 

8) PERTUKARAN NAMA PESERTA PELANCONGAN/PENUNDAAN PAKEJ

8.1) Permohonan hendaklah dibuat secara rasmi melalui Borang Khas yang disediakan oleh MATTSB dan perlu mendapat akuan   pengesahan penerimaan dan kelulusan secara bertulis dari MATTSB.

8.2) Permohonan untuk menukar nama peserta hendaklah dibuat dalam tempoh 61 hari sebelum penerbangan DAN

Peserta hendaklah memastikan nama peserta baru telah mematuhi syarat visa.

8.3) Penundaan pakej hanya dibenarkan sekali sahaja. Bagi penundaan pakej umrah, hendaklah dalam Tahun Hijrah yang sama. Bagi pakej pelancongan selain umrah adalah tidak lebih dari 8 bulan.

Penundaan pakej adalah tertakluk kepada syarat berikut:-

Penundaan Diterima                                                                           Caj dikenakan

91 hari sebelum tarikh berlepas                                                          RM50 seorang                                                                 

61-90 hari sebelum tarikh berlepas                                                    RM200 seorang

Dalam tempoh 60 hari sebelum tarikh berlepas                                 penundaan tidak dibenarkan


9) TANGGUNGJAWAB MENJAGA KESIHATAN, JANGKITAN PENYAKIT DAN COVID-19

9.1) Pelanggan bertanggungjawab sepenuhnya untuk menjaga keselamatan dan kesihatan masing-masing serta mematuhi SOP bagi mengelakkan / mengurangkan risiko dijangkiti COVID-19 atau masalah kesihatan yang lain khususnya ketika berada di tempat awam.

9.2) MATTSB tidak menjamin keselamatan Pelanggan dari risiko dijangkiti COVID-19, penyakit berjangkit atau masalah kesihatan yang lain sewaktu dalam tempoh perjalanan pakej yang diambil.

9.3) Pelanggan bertanggungjawab sepenuhnya menanggung keseluruhan kos sekiranya dijangkiti oleh penyakit COVID-19, penyakit berjangkit atau masalah kesihatan yang lain.


10) PERLINDUNGAN INSURANS PERJALANAN TAMBAHAN

10.1)MATTSB hanya menyediakan perlindungan takaful berkelompok yang terhad seperti yang dinyatakan di dalam brosur setiap pakej yang dibeli.

10.2)Selaras dengan peruntukan Peraturan 12 Jadual Keempat AIP 1992, Pelanggan adalah sangat disarankan untuk mengambil insurans perjalanan tambahan untuk melindungi kepentingan Pelanggan. Pelanggan bebas memilih syarikat insurans yang bersesuaian dengan keperluan Pelanggan dan jenis perlindungan yang terbaik untuk diri Pelanggan.

10.3)Sekiranya Pelanggan memilih untuk tidak berbuat demikian, Pelanggan dianggap telah memahami, mengetahui dan bersetuju untuk menanggung dan menerima segala risiko termasuk dan tidak terhad kepada akibat sakit/ perbelanjaan kecemasan perubatan, kehilangan dan kerugian wang, pembatalan, kelewatan penerbangan, kehilangan bagasi, dan perbelanjaan tambahan di luar jangkaan sewaktu dalam tempoh perjalanan pakej.

10.4)Sekiranya Pelanggan memilih untuk membuat pembelian insurans tambahan, Pelanggan dinasihatkan supaya menyemak terlebih dahulu sebelum membuat pembelian, atau telah mempunyai insurans sedia ada untuk menyemak semula terma-terma yang terkandung di dalam polisi insurans tersebut bagi memastikan bahawa perlindungan yang diperolehi mencukupi.

 

11) MURSYID ALHARAMAIN TRAVEL & TOURS SDN BHD SEBAGAI AGEN PERANTARA/OPERATOR PIHAK KETIGA

11.1)MATTSB hanyalah AGEN PERANTARA/OPERATOR di antara Pelanggan dan syarikat penerbangan, syarikat hotel penginapan, syarikat pengangkutan dan/atau pembekal perkhidmatan (ground supplier) di luar negara (“PIHAK KETIGA”) dalam menyediakan perkhidmatan sesuatu pakej. MATTSB  bukan pemilik atau pengendali mana-mana PIHAK KETIGA tersebut.

11.2)Berdasarkan status dan kapasiti MATTSB  tersebut, MATTSB adalah dikecualikan DAN tidak boleh dipertanggungjawabkan bagi apa-apa kehilangan, kerugian, kerosakan, kelewatan, kesusahan atau kecederaan yang menimpa Pelanggan akibat dari pecah kontrak, kegagalan sama ada disengajakan atau tidak, atau kecuaian oleh mana-mana PIHAK KETIGA tersebut.

 

12) FORCE MAJEURE

12.1) Sekiranya berlaku apa-apa perkara di luar jangkaan dan di luar kawalan MATTSB dan PIHAK KETIGA sama ada di Malaysia atau di luar negara, TERMASUK DAN TIDAK TERHAD kepada peperangan, tunjuk perasaan, gempa bumi, banjir, taufan, ribut, arahan kerajaan Malaysia, arahan kerajaan destinasi pelancongan berkaitan dan penyakit yang menjadi wabak, atau endemik di mana – mana destinasi di dalam pakej tersebut atau pandemik, yang menyebabkan pakej tersebut tidak dapat diteruskan mengikut tarikh yang telah dijadualkan, MAKA:

       i)  MATTSB berdasarkan keputusan pihak Kerajaan Malaysia dan/atau kerajaan negara destinasi pelancongan dan/atau PIHAK KETIGA, berhak menunda perjalanan pakej tersebut hingga ke suatu tarikh baru yang akan ditentukan.

ii)   Jika Pelanggan memutuskan untuk membatalkan pakej tersebut, MAKA MATTSB tidak bertanggungjawab untuk mengembalikan kesemua atau sebahagian bayaran pakej yang telah dibuat oleh PIHAK KETIGA. Keputusan muktamad adalah diputuskan oleh PIHAK KETIGA.   

iii)  Pembatalan pakej oleh Pelanggan di Klausa 10.1 (ii) di atas memberikan hak kepada MATTSB untuk mengenakan caj kos perkhidmatan yang akan diambil dari harga pakej tersebut dan bakinya akan dipulangkan (sekiranya ada) 

12.2) Sekiranya perkara di Klausa 12.1 di atas berlaku menyebabkan PIHAK KETIGA memutuskan untuk membatalkan baki perjalanan pakej dan Pelanggan terpaksa kembali lebih awal ke Malaysia, MAKA:

       i)  Keseluruhan harga pakej dianggap hangus.

      ii)  Segala kos tambahan termasuk tiket penerbangan untuk kembali lebih awal ke Malaysia adalah ditanggung sepenuhnya oleh Pelanggan.

       iii)  MATTSB tidak bertanggungjawab memastikan pemulangan wang baki oleh mana-mana PIHAK KETIGA.

12.3) Sekiranya perkara di Klausa 12.1 di atas berlaku menyebabkan terhentinya dan/atau terhalang perjalanan pakej dan/atau Pelanggan terperangkap di negara destinasi pelancongan dan/atau di negara transit,  MAKA:

       i)  Pelanggan bertanggungjawab sepenuhnya menanggung segala kos tambahan termasuk tiket penerbangan, hotel/penginapan dan makanan sehingga kembali ke Malaysia;

       ii)  MATTSB akan berusaha sewajarnya membantu Pelanggan sehingga kembali ke Malaysia TANPA mempunyai apa-apa tanggungjawab untuk menanggung apa-apa kos tambahan tersebut.

    iii) MATTSB juga tidak menjamin secara mutlak keselamatan Pelanggan selama Pelanggan berada di negara destinasi pelancongan atau negara transit akibat dari perkara di Klausa 12.1 di atas.                                                                                                                                                                 

13) PROMOSI DAN MAKLUMAT PAKEJ

13.1) MATTSB tidak bertanggungjawab terhadap sebarang maklumat dan promosi yang tidak tepat yang dibuat oleh wakil sah yang dilantik oleh MATTSB.

13.2) MATTSB tidak bertanggungjawab terhadap sebarang maklumat dan promosi yang dibuat oleh mana-mana individu yang bukan merupakan wakil sah yang dilantik oleh MATTSB dan/atau representasi palsu yang dibuat oleh mana-mana pihak berkaitan MATTSB dan maklumat pakej/promosi sama ada di media cetak atau media sosial.

 

14) PINDAAN DAN TAMBAHAN TERMA DAN SYARAT

       MATTSB berhak pada bila –bila masa meminda dan/atau menambah apa-apa syarat dan terma yang difikirkan patut.